Kualiti Liga Malaysia Buat Victor Ruiz Kagum
MakanBola
Penang FC

Pemain baharu KL City FC, Victor Ruiz mengakui terkejut dengan kualiti Liga Malaysia (Liga M) selepas mengharungi dua perlawanan.

Ini kali kedua bekas pemain Valencia itu beraksi di Asia. Sebelum ini, Ruiz pernah beraksi untuk kelab Arab Saudi, Al-Fayha dari 2022 hingga 2024.

Selepas mengharungi dua perlawanan bersama The City Boys, Ruiz mengakui terkejut dengan kualiti yang dimiliki Liga M.

“Bagi saya, ini pengalaman kedua saya berada di Asia. Saya mengambil peluang ini (menyertai KL City) untuk melihat liga (Liga M),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

“Liga ini memberi kejutan kepada saya tetapi dengan cara yang baik. Ia satu liga yang bagus dengan kualiti (pemain) yang bagus dan juga mentaliti yang bagus.

“Saya datang ke untuk berikan yang terbaik dan membantu KL City meneruskan permulaan baik mereka dan harapnya ia dapat diteruskan.”

KL City kini menghuni tangga kedua liga dengan 10 mata. Pasukan itu juga belum tewas dengan merekodkan tiga kemenangan dan satu keputusan seri.

Selepas ini, Ruiz dan KL City akan menentang Kelantan The Real Warrior FC (KTRW FC) untuk aksi kedua pusingan 16 Piala FA pada 14 September.