Kuching City Berdepan JDT Tanpa 3 Penyerang Utama
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City FC berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk aksi separuh akhir kedua Piala FA tanpa empat tonggak utama.

Tiga daripadanya beraksi di bahagian serangan. Mereka ialah Ronald Ngah Wanja, Jordan Mintah, Gabriel Nistelrooy dan Danial Amier Norhisham.

Ngah tidak dapat diturunkan kerana perlu menjalani penggantungan satu perlawanan. Mintah pula masih belum cergas susulan masalah kesihatan yang dihadapinya ketika bersama Harimau Malaya.

Nistelrooy dan Danial Amier pula terpaksa melupakan aksi ini kerana status mereka sebagai pemain pinjaman Harimau Selatan.

Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak mengakui ketiadaan empat tonggak ini sedikit sebanyak memaksa beliau mengubah perancangan taktikal menentang JDT.

Pada masa sama, bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu melihat ini peluang terbaik buat pemain lain untuk tampil dan mengisi slot yang ditinggalkan empat pemain tersebut.

“Sejujurnya, kita tidak memiliki pemain terbaik untuk perlawanan ini. Saya rasa semua orang tahu sesetengah pemain tidak dapat beraksi seperti Jordan Mintah (kerana masalah kesihatan).

“Ronald Ngah menjalani penggantungan. (Gabriel Nistelrooy dan) Danial Amier pula tidak dapat diturunkan untuk bermain (atas faktor status pemain pinjaman).

“Ini detik paling penting buat pemain lain untuk tampil, tunjukkan prestasi terbaik kepada saya dan nikmati detik tersebut. Saya percaya kepada pemain yang akan diturunkan dah harapnya mereka tampil dan menikmati perlawanan ini,” katanya kepada Nadi Arena.

Ketiadaan Ngah dijangka dirasai kerana beliau merupakan penjaring terbanyak Kuching City dalam semua kejohanan. Beliau menyumbat 13 gol dan mencipta tiga bantuan gol dalam 13 penampilan.

Kelibat pemain seperti Hazwan Bakri dan Joao Pedro dijangka ditagih Aidil untuk aksi menentang JDT pada 30 November ini.