“Kuching City Makin Hampiri Prestasi JDT” – Aidil Sharin
MakanBola
Kuching City FC

Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak percaya pasukan itu semakin menghampiri tahap prestasi lawan mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pandangan itu dibuat beliau selepas aksi separuh akhir kedua Piala FA antara kedua-dua pasukan itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Bergson da Silva dan Eddy Israfilov masing-masing meranapkan impian The Cats dengan menyumbat gol buat Harimau Selatan.

Meskipun tewas dengan keputusan agregat 4-1, Aidil tetap gembira dengan prestasi yang dipamerkan anak buahnya.

Ini kerana mereka berjuang habis-habisan di SSI tanpa empat tonggak. Ini membuatkan Aidil percaya Kuching City memiliki resepi ampuh untuk menghampiri tahap yang ditetapkan JDT.

“Saya fikir kami benar-benar mencipta sejarah. Inilah detik penting kami akan belajar untuk menjadi lebih baik.

“Saya ucapkan tahniah kepada JDT kerana layak ke final. Tetapi kami akan kembali lebih kuat tahun depan. Kuching City sudah semakin menghampiri prestasi yang mereka tunjukkan,” katanya seperti dilaporkan TVS.

JDT akan berdepan Sabah FC di pentas final Piala FA. Sabah mara selepas menyingkirkan Selangor FC menerusi penentuan sepakan penalti dalam satu lagi aksi separuh akhir.