Pemain sayap Selangor FC, Alvin Fortes dilabel antara ancaman utama Kuching City FC menjelang aksi terbaru Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan itu.
Hal ini dinyatakan pemain sayap The Cats, Danial Asri apabila ditanya siapa yang mampu mengancam benteng pasukan tersebut.
Danial cukup mengenali Fortes kerana pernah beraksi bersama Selangor FC dari 2020 hingga 2025.
Pemain sayap berusia 25 tahun itu sedar pemain Cape Verde itu mampu menggugat usaha pasukan yang dibimbing Aidil Sharin Sahak itu untuk meraih mata di Kuching.
Atas sebab itu, Danial percaya percaturan jurulatih Singapura itu bukan saja dapat menambah derita The Red Giants. Malah, ini dapat membantu pasukan itu terus menambah baik kedudukan liga.
“Bagi saya Kuching City sekarang memang dalam momentum yang terbaik dan kita tidak mahu terus selesa dengan kemenangan lepas.
“Kita perlu teruskan momentum ini untuk fokus lawan Selangor sebab kita tahu ia akan menjadi perlawanan yang cukup sukar.
“Pendapat saya, penyerang mereka, Alvin Fortes antara yang perlu kita waspada sebab saya tahu permainan dia macam mana dan dia boleh dianggap bahaya kepada Kuching esok,” katanya.
Sejak menyertai The Cats, Danial sudah menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan. Ini termasuk dua gol dalam aksi kedua pusingan 16 Piala FA menentang Brunei DPMM FC.
Kuching City dijangka berdepan cabaran Selangor yang ingin bangkit selepas tewas dalam aksi pertama Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) baru-baru ini.