Kuwait Batal Aksi Menentang Indonesia
MakanBola
PSSI

Hasrat Indonesia menggunakan aksi menentang Kuwait sebagai aksi pemanas badan menjelang pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026 terbantut.

Sebelum ini, Indonesia dijadual bertemu Kuwait dan Lubnan pada 5 dan 8 September ini. Dua aksi tersebut diumumkan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, ASEAN Football melaporkan aksi menentang pasukan Asia Barat itu telah dibatalkan.

Ini kerana Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA) telah menghantar surat kepada PSSI untuk membatalkan aksi tersebut.

Pembatalan ini memaksa PSSI perlu mencari pengganti segera untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Kuwait. Ini kerana selain Indonesia, Lubnan juga dijadual bertemu lawan sama pada 2 September ini.

Lubnan berharap dapat menjadikan aksi menentang Indonesia dan Kuwait sebagai aksi pemanas badan untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2027.

Tim Garuda berada dalam Kumpulan B bersama Iraq dan Arab Saudi. Indonesia bakal membuka kempen kumpulan menentang Arab Saudi pada awal pagi 9 Oktober.