LaLiga memaklumkan badan liga tersebut tidak menghalang mana-mana penyokong yang membawa bendera Palestin ke dalam stadium.
Hal ini dinyatakan Presiden LaLiga, Javier Tebas apabila ditanya tentang tindakan kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid baru-baru ini.
Satu klip video yang tular di media sosial menunjukkan sekumpulan penyokong Los Blancos menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kelab tersebut.
Ini kerana mereka mendakwa dihalang daripada memasuki Stadium Santiago Bernabeu atas alasan mereka membawa bendera Palestin.
Tebas kemudiannya ditanya oleh media sama ada larangan itu dibuat oleh pihak kelab atau daripada LaLiga.
Beliau menjelaskan pihak liga tidak akan menghalang mana-mana penyokong yang membawa bendera Palestin ke stadium.
“Bendera Palestin tidak dibenarkan di Bernabeu? Tidak, LaLiga tidak dan tidak akan melarang bendera Palestin.
“Selagi mana semuanya dibuat mengikut peraturan dan tidak mengganggu (perjalanan pertandingan) sukan, itu tidak apa.
“Apa yang berlaku di Gaza sangat sukar dan menyedihkan,” katanya seperti yang dilaporkan Get Football News Spain.
Pendirian LaLiga dilihat selaras dengan pendirian kerajaan Sepanyol yang tegas membantah kekejaman rejim Israel ke atas rakyat Palestin terutama di Semenanjung Gaza.
Sebelum ini, Sepanyol merancang untuk memboikot Piala Dunia 2026 seandainya rejim layak secara merit ke kejohanan itu.