Laos mengumumkan senarai 23 pemain yang menjadi pilihan jurulatih, Ha Hyeok-jun menjelang dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Malaysia.
Ini berdasarkan senarai yang diumumkan Persekutuan Bola Sepak Laos (LFF) di platform rasmi badan induk itu pada 6 Oktober.
Majoriti pemain yang dibawa Hyeok-jun untuk dua aksi menentang Harimau Malaya beraksi dalam saingan liga Laos.
Hanya tiga pemain yang berpangkalan di luar negara yang dipilih jurulatih Korea Selatan itu. Mereka ialah Bounphachan Bounkong (Svay Rieng), Photthavong Sangvilay (BG Pathum United) dan Damoth Thongkhamsavath (Dong A Thanh Hoa).
Tiga lagi pemain yang berpangkalan di luar negara iaitu Theo Klein, Roman Angot dan Victor Ngovinassack tidak dipanggil untuk kem kali ini.
Laos berharap dapat meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Nepal 2-1 pada Jun lalu.
Anak buah Hyeok-jun akan menentang Harimau Malaya pada 9 Oktober. Ini disusuli aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 14 Oktober ini.