Legenda badminton Malaysia, Datuk Seri Lee Chong Wei sah kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Ini selepas Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengesahkan pelantikan beliau sebagai empat Ahli Majlis BAM yang baru.
Selain Chong Wei, BAM turut mengesahkan pelantikan Tan Sri Gooi Hoe Soon, Tan Sri Shazalli Ramly dan Datuk Sunil Abraham.
“Kita telah memuktamadkan empat Ahli Majlis BAM yang baru. Selain daripada Datuk Seri Lee Chong Wei, kita ada Tan Sri Gooi Hoe Soon, Tan Sri Shazalli Ramly dan Datuk Sunil Abraham.
“Mereka ada bidang kepakaran masing-masing. Kita juga di peringkat Majlis BAM setuju untuk pelantikan pengerusi bagi setiap jawatankuasa. Keempat-empat individu ini akan mengetuai setiap jawatankuasa,” katanya seperti dilaporkan Nadi Arena.
Tengku Zafrul turut mengumumkan empat figura ini akan mengetuai jawatankuasa mengikut kepakaran dan pengalaman dalam bidang masing-masing. Kesemua ahli majlis menjadi ahli jawatankuasa yang dibentuk.
“Contohnya, Datuk Seri Lee Chong Wei mengetuai Jawatankuasa Prestasi (BAM). Dan dalam semua jawatankuasa ini, semua ahli majlis akan menjadi ahli jawatankuasa yang kita bentuk,” ujarnya.
Tengku Zafrul turut memaklumkan BAM akan menjemput pakar luar untuk menyertai jawatankuasa yang dibentuk mengikut kepakaran dan pengalaman mereka.