Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui pernah terfikir untuk menggantung raket susulan kecederaan serius yang dialaminya.
Perkara ini dinyatakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu dalam satu temu bual bersama Persekutuan Badminton Sedunia (BWF).
Zii Jia mengakui tempoh pemulihan selama lima bulan memberi cabaran besar kepada beliau. Ini ditambah dengan fakta bahawa ini kecederaan serius pertama beliau dalam kariernya.
“Ia bukan sesuatu yang normal (berehat selama lima bulan). Saya berada dalam situasi di mana saya mahu berhenti bermain disebabkan semua kecederaan ini, semua perkara yang mengganggu saya.
“(Karier) saya ada naik dan turun tetapi tak pernah berdepan dengan kecederaan. Ini kali pertama saya berdepan kecederaan serius sebegini. Jadi, ini satu perkara baru buat saya.
“Jadi, bila itu berlaku, saya juga terkejut dan saya tak tahu apa perkara nak lakukan. Saya tak tahu apa yang patut saya lakukan dan bagaimana saya tangani masalah tersebut,” katanya.
Zii Jia turut mendedahkan beliau turut bergelut dengan masalah kemurungan semasa menjalani proses pemulihan. Hal ini mendorongnya menghasilkan lukisan – ini sekaligus menjawab lukisan yang disiarkan di akaun media sosialnya beberapa bulan lalu.
“Semasa tempoh lima bulan itu, saya bukan saja berdepan dengan masalah kecederaan, saya mendepani tekanan dan sudah tentu, saya alami sedikit kemurungan.
“Dalam tempoh lima bulan, saya tak berapa fikir tentang badminton. Saya mengembara juga untuk memastikan minda saya kekal segar. Saya juga obses dengan lukisan. Jadi, saya mula buat penyelidikan dengan sesetengah lukisan.
“Saya fikir dengan melihat kepada lukisan, ia jadi medium untuk saya meluahkan perasaan kita, bukan saja yang baik tetapi yang buruk juga. Itulah sebab saya kongsikan imej-imej berkenaan,” katanya.
Zii Jia kini bersiap sedia untuk aksi pusingan pertama BWF World Championships yang akan bermula pada 25 Ogos ini. Beliau akan turun menentang Jeon Hyeok-jin di pusingan pertama.