Lee Zii Jia Fokus Atasi Trauma Kecederaan
UltraSukan
Olympic Malaysia

Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia percaya mengatasi trauma kecederaan lama sebagai kunci beraksi pada tahap terbaik.

Perkara itu dinyatakan beliau kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal selepas aksi pusingan pertama BWF World Championships.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu mengakui trauma kecederaan lama mampu mempengaruhi persembahannya di atas gelanggang.

Justeru, Zii Jia ingin fokus mengatasi masalah itu terlebih dahulu untuk membantunya kembali ke tahap terbaik.

“Saya fikir untuk orang normal, bila mereka kembali (pulih) dari kecederaan, akan ada trauma kan. Sebab kecederaan sebelumnya sangat serius.

“Jadi, saya fikir ini satu perkara yang saya kena selesaikan,” kata bekas juara Thailand Open 2024 itu.

Zii Jia tersingkir di pusingan pertama BWF World Championships apabila tewas kepada Jeon Hyeok-jin. Jaguh Malaysia itu tewas dengan keputusan 21-17, 21-11.

Meskipun tewas, bekas juara Australian Open 2024 itu gembira dapat kembali beraksi di gelanggang. Zii Jia berharap penampilan ini menjadi batu asas untuk beliau kembali ke tahap terbaik.