Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memilih beraksi tanpa tekanan apabila beraksi dalam saingan BWF World Championships.
Hasrat itu dizahirkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu menjelang kejohanan yang akan bermula pada penghujung Ogos ini.
Saingan BWF World Championships merupakan kejohanan pertama Zii Jia selepas berehat akibat kecederaan sejak Mac lalu.
Atas sebab itu, bekas juara Thailand Open 2024 itu memilih bukan saja tidak meletakkan sebarang tekanan ke atas dirinya.
Malah, Zii Jia berharap dapat mengharungi BWF World Championships tanpa sebarang kecederaan.
“World Championships akan menjadi kejohanan pertama saya selepas tempoh rehat yang panjang.
“Saya tidak letakkan banyak tekanan pada diri saya, saya akan cuba menikmati perasaan kembali ke gelanggang secara kompetitif dan paling penting, menamatkan kempen di Paris tanpa kecederaan,” katanya.
Zii Jia bakal membuka kempen kejohanan dengan menentang wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin di pusingan pertama.