Kedudukan ranking terbaru Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) untuk kategori perseorangan lelaki menyaksikan Lee Zii Jia kini menduduki ranking keempat dunia.
Perubahan ranking tersebut turut menyaksikan juara Thailand Open 2024 itu memintas tiga jaguh dunia. Tiga jaguh tersebut ialah Li Shi Feng (China), Anders Antonsen dan Kodai Naraoka.
Shi Feng dan Naraoka masing-masing meraih pertambahan dua dan satu anak tangga untuk menghuni kedudukan kelima dan ketujuh. Manakala Antonsen pula jatuh ke kedudukan keenam selepas sebelum ini berada di tempat ketiga.
Sementara itu, kedudukan dua pemain terbaik dunia iaitu Shi Yuqi dan Viktor Axelsen tidak menunjukkan perubahan. Sebaliknya, jaguh Indonesia, Jonatan Christie menduduki tempat ketiga sekaligus mengisi tempat yang ditinggalkan Antonsen.
Ini dilihat satu perubahan mengagumkan buat Zii Jia selepas pada satu ketika berada pada kedudukan ke-18 pada 2023.
Selepas kembali berada pada kedudukan ke-10 dunia pada awal tahun ini, ranking tersebut menjadi pembakar semangat buat Zii Jia bangkit memburu kejuaraan jelajah BWF.
Kejayaan bergelar juara Thailand Open dan Australian Open 2024 serta naib juara Malaysian Masters 2024 membantu anak jati Alor Setar, Kedah itu mendaki ke kedudukan ketujuh dunia.
Ini disusuli pula dengan kejayaan meraih pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis. Kejayaan di Paris membantu Zii Jia menduduki ranking keempat dunia meskipun tewas kepada Alex Lanier dalam pusingan pertama Japan Open 2024 baru-baru ini.
Bekas juara All England 2021 itu tidak menyertai Korea Open 2024. Ini menjadikan Leong Jun Hao sebagai satu-satunya wakil Malaysia dalam acara perseorangan lelaki.