Legenda Liverpool Dilantik Jurulatih Baharu Hanoi
MakanBola
Hanoi FC

Arena bola sepak Vietnam bakal dimeriahkan lagi dengan kehadiran legenda kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.

Ini selepas Hanoi FC mengumumkan pelantikan bekas jurulatih Yokohama F. Marinos, Harry Kewell sebagai jurulatih baharu pasukan itu.

Kewell dibawa masuk menggantikan bekas jurulatih BG Pathum United, Makoto Teguramori. Pelantikan legenda Austrralia itu menyaksikan Yusuke Adachi kembali ke peranan asalnya sebagai pengarah teknikal.

“Hanoi FC secara rasmi melantik Harry Kewell, bekas pemain Liverpool yang pernah memenangi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) sebagai ketua jurulatih pasukan,” kata kelab dalam satu kenyataan.

“Dengan pengalaman yang luas dalam kariernya sebagai pemain dan jurulatih di Eropah, Harry Kewell dijangka memberi nafas baru kepada kelab, meningkatkan prestasi kelab agar dapat mencapai sasaran di peringkat domestik dan mengimpikan peluang beraksi di peringkat antarabangsa.”

Selain Yokohama F. Marinos, beliau pernah membimbing Crawley Town, Notts County, Oldham Athletic dan Barnet. Kewell juga pernah menjadi pembantu Ange Postecoglou ketika berada di Celtic pada 2022.

Antara pencapaian terbaik Kewell dalam karier kejurulatihannya ialah membawa Marinos layak ke final Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2023/24.

Sebelum menyertai Hanoi, bekas pemain sayap Leeds United itu turut dicanang antara jurulatih yang berminat membimbing skuad kebangsaan Singapura.

Tugas membimbing The Lions ketika ini digalas oleh jurulatih interim, Gavin Lee. Ini selepas jurulatih sebelumnya, Tsutomu Ogura meletak jawatan atas sebab peribadi pada Julai lalu.