Legenda Thailand Kagum Peningkatan Harimau Malaya
MakanBola
Changsuek/MNT

Penyerang legenda Thailand, Teerasil Dangda mengakui kagum dengan peningkatan yang dipamerkan Harimau Malaya sejak kebelakangan ini.

Pandangan itu dibuat penyerang Bangkok United itu apabila ditanya tentang peningkatan anak buah Peter Cklamovski itu.

Teerasil percaya hal ini berlaku disebabkan oleh impak positif yang dibawa bekas jurulatih FC Tokyo itu. Penyerang veteran itu cukup mengenali Cklamovski kerana pernah bekerjasama semasa beliau beraksi di kelab Shimizu S-Pulse.

“Ya, saya mengikuti perkembangan ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia (Peter Cklamovski). Semasa saya beraksi di Jepun, beliau salah seorang bekas jurulatih saya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Teerasil percaya usaha jurulatih Australia itu membentuk pemain Harimau Malaya semakin membuahkan hasil. Ini kerana pada hematnya, skuad negara kali ini lebih mantap berbanding skuad sama yang dihadapinya ketika saingan ASEAN Championship 2022.

“Dan pemain yang saya lawan sebelum ini, mereka menunjukkan banyak peningkatan. Kita bekerjasama selama setahun (semasa di Shimizu S-Pulse) dan saya rasa ia satu pengalaman yang baik.

“Dan ini akan membantu pemain-pemain Malaysia terus mempamerkan kemajuan dan jadi lebih kuat,” ujarnya.

Teerasil bukan satu-satunya figura yang kagum dengan peningkatan skuad Malaysia di peringkat antarabangsa sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini, jurulatih Palestin, Ehab Abu Jazar juga kagum dengan persembahan mantap yang dipamerkan Harimau Malaya ketika menewaskan anak buahnya 1-0 baru-baru ini.