Liga A1: JDT II Menang Bergaya Atasi Perlis GSA
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

JDT II berjaya menundukkan skuad Perlis GSA dengan keputusan 0-4 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada Isnin.

Skuad Perlis GSA menurunkan Kamarul Hilmi di bahagian penjaga gol dan Ikmal Faiz menggalas lilitan kapten pasukan malam ini.

Pasukan pelawat, JDT II membariskan Zulhilmi Sharani di benteng terakhir dan Ziad El Basheer manakala Syukur Fariz mengemudi jentera serangan.

JDT II tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan perlawanan menerusi rembatan kencang oleh Syukur Fariz pada minit ke 9′ aksi.

Ziad El Basheer berjaya menambah gol bagi skuad Harimau Selatan pada minit ke 17′ hasil ledakan berbisa dalam kawasan kotak penalti Perlis GSA.

Perlis GSA turut melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang pasukan JDT II namun ketangkasan penjaga gol, Zulhilmi Sharani harus diberi pujian.

Jean Franco terus memberikan derita buat pasukan tuan rumah, Perlis GSA untuk jaringan ketiga pada minit ke 32′ sekaligus memberikan keselesaan kepada JDT II sebelum menuju ke bilik persalinan.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-3 memihak kepada pasukan pelawat, JDT II.

View this post on Instagram

A post shared by Amateur Football League (@afl_my)

Bersambung babak kedua perlawanan, Perlis GSA masih bernafsu untuk mencari jaringan pembukaan skuad tersebut malam ini.

Perlis GSA diberikan sepakan penalti pada minit ke 50′ hasil kesilapan pemain pertahanan JDT, Miguel Cuesta yang menolak Ikmal Faiz di kawasan kotak penalti.

Sepakan penalti tersebut berjaya diselamatkan oleh penjaga gol JDT II, Zulhilmi Sharani bagi memastikan skuad tersebut masih mendahului perlawanan dengan 3 jaringan di hadapan.

Shafizan berjaya meledak jaringan ke 4 pada minit ke 56′ sekaligus menutup peluang skuad Perlis GSA untuk meraih 3 mata penuh.

Skuad Perlis GSA dilihat tidak mengendurkan asakan meskipun sudah ketinggalan 4 jaringan namun segala percubaan tidak menepati sasaran.

Memasuki minit ke 75′ perlawanan kedudukan masih didahului oleh pasukan pelawat, JDT II dengan 4 gol.

Perlawanan tamat dengan keputusan 0-4 dimenangi oleh pasukan pelawat, JDT II di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada Isnin.