Perak menundukkan skuad JDT II dengan keputusan 1-2 dalam saingan Liga A1 pada Sabtu di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Skuad Johor Darul Ta’zim II membariskan Zulhilmi Sharani di benteng terakhir dan Putera Nadher menggalas lilitan kapten manakala Celso Bermejo mengemudi jentera serangan.
Sementara itu, pasukan Perak menurunkan Ahmad Syazwan sebagai penjaga gol dan Kamal Arif mengetuai pasukan skuad tersebut malam ini.
JDT II terus melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang skuad Perak bagi mencari gol pendahuluan di halaman sendiri.
Perak yang tampak tidak menghadapi sebarang tekanan berjaya membuka akaun jaringan pada minit ke 32′ menerusi gol cantik oleh Rafieq Al-Amzar.
JDT II tidak menunggu lama untuk mengikat kedudukan perlawanan apabila Celso Bermejo berjaya menjaringkan gol pada minit ke 38′.
Ia bagi memastikan skuad tersebut masih mempunyai peluang untuk meraih 3 mata penuh bagi aksi ini.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat 1-1 di antara skuad tuan rumah, JDT II dan Perak.
Bersambung babak kedua perlawanan, Perak terus mengasak kubu pasukan JDT II bagi mencari gol kedua skuad tersebut.
Perak dihadiahkan sepakan percuma selepas Putera Nadher mengasari pemain bernombor 30, Ekene Victor di luar kawasan kotak penalti.
Sepakan tersebut berjaya diterjemahkan dengan jaringan cantik oleh Fadhil Azmi pada minit ke 46′ selepas beliau menerima umpanan yang sempurna.
JDT II yang tersentak dengan jaringan tersebut dilihat meningkatkan intensiti permainan bagi memastikan skuad tersebut mengikat kembali kedudukan.
Memasuki minit ke 75′ kedudukan masih didahului oleh pasukan pelawat, Perak meskipun JDT II melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah Ahmad Syazwan.
Perlawanan tamat dengan keputusan 1-2 memihak kepada pasukan pelawat, Perak hasil ledakan berbisa Rafieq Al-Amzar dan Fadhil Azmi.