Armed Forces berjaya mengikat pasukan Selangor II dengan keputusan 1-1 selepas jaringan awal Abu Khalil dalam aksi Liga A1 pada Ahad di Stadium UPM, Serdang.
Skuad tuan rumah, Selangor II menurunkan Azim Al Amin di posisi penjaga gol dan Moses Raj memimpin barisan pertahanan manakala Rahman Daud mengemudi jentera serangan.
Sementara itu, Armed Forces membariskan Faiz Ibrahim sebagai ketua pasukan dan Hadi Mohamad sebagai ayam tambatan skuad tersebut.
Pasukan tuan rumah, Selangor II tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan perlawanan menerusi rembatan kencang di hadapan gawang oleh Muhammad Abu Khalil pada minit 1′ aksi.
Skuad Armed Forces yang tersentak dengan jaringan tersebut berjaya mengikat kedudukan perlawanan pada minit ke 7′ hasil jaringan oleh Marcus Mah.
Selangor terus meningkatkan intensiti permainan bagi memperoleh gol kedua perlawanan sekaligus membawa pulang 3 mata penuh di halaman sendiri.
Memasuki minit ke 35′ kedudukan masih terikat 1-1 bagi kedua-dua pasukan meskipun dilihat saling berbalas serangan.
Tambahan masa dua minit di waktu kecederaan tidak dimanfaatkan oleh kedua-dua pasukan sekaligus menutup separuh masa pertama dengan keputusan 1-1.
Bersambung babak kedua perlawanan, Selangor dilihat melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang pasukan Armed Forces bagi mendapatkan gol kedua perlawanan.
Armed Forces turut melakukan percubaan ke kubu Selangor II namun ketangkasan penjaga gol muda Selangor, Azim Al Amin harus diberi pujian.
Memasuki minit ke 70′ perlawanan kedudukan masih terikat 1-1 walaupun disajikan dengan beberapa peluang jaringan yang berbahaya dari kedua-dua pasukan.
Selangor terus mengasak kubu pasukan Armed Forces dalam masa 5 minit terakhir perlawanan namun masih gagal menembusi gawang skuad tersebut buat kali kedua.
Perlawanan tamat dengan keputusan terikat 1-1 di Stadium UPM, Serdang pada Ahad bagi aksi Liga A1 sekaligus kedua-dua pasukan terpaksa akur membawa pulang 1 mata berharga.