Sabah berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada masa kecederaan separuh masa kedua ketika menentang KL City pada Rabu.
Skuad The City Boys membariskan Quincy Kammeraad di bahagian penjaga gol dan Giancarlo Califuoco di benteng pertahanan sambil menggalas lilitan kapten manakala Kpah Sherman mengetuai jentera serangan.
Selepas itu, The Rhinos menurunkan Damien Lim di kubu gawang dan Miguel Cifuentes sebagai arkitek tengah pasukan Sabah manakala Dominic Tan mengetuai skuad tersebut pada perlawanan ini.
KL City mencari kemenangan kedua selepas menumpaskan skuad Imigresen pada aksi pembukaan liga skuad tersebut manakala Sabah membuka kempen Liga Super musim 2025-2026 pada perlawanan malam ini.
KL City memulakan tempo perlawanan agak tinggi apabila melancarkan serangan berbahaya dari Manuel Hildago pada awal minit permainan.
Tersentak dengan serangan awal dari KL City, pemain The Rhinos turut membuat satu percubaan dari depan gawang namun rembatan tersebut tersasar.
Sabah berjaya melepaskan satu percubaan berbahaya pada minit ke 11′ namun rembatan tersebut berjaya di tangkap kemas oleh penjaga gol Kuala Lumpur City, Quincy Kammeraad.
Skuad The Rhinos sekali lagi melancarkan percubaan berbahaya pada minit ke 16′ namun tiang bawah KL City menjadi penghalang kali ini untuk pasukan Sabah membuka akaun jaringan.
Memasuki minit ke 30′ kedudukan masih terikat 0-0 tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan walaupun perlawanan ini dipenuhi dengan aksi berbalas serangan oleh skuad The Rhinos dan The City Boys.
Pasukan Sabah kehilangan satu tonggak apabila pemain bernombor 14, Dean Pelekanos dilayangkan kad merah pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan 0-0 bagi kedua-dua pasukan.
Keluar dari bilik persalinan, meskipun Sabah kekurangan satu pemain namun skuad The Rhinos tidak mengendurkan serangan.
Sabah berjaya melancarkan percubaan berbahaya pada awal minit separuh masa kedua di hadapan gawang KL City namun ketangkasan Quincy Kammeraad harus diberi pujian.
Memasuki minit ke 60′ KL City membuat satu pertukaran memasukkan Paulo Josue dan mengeluarkan Kpah Sherman bagi menambah bisa serangan skuad The City Boys.
Selain itu, skuad The Rhinos turut melakukan pertukaran dengan memasukkan Gabriel Peres dan mengeluarkan Gary Steven Robert.
Berselang beberapa minit, skuad KL City berjaya membuka akaun jaringan hasil gol oleh Declan Lambert bagi mendahului perlawanan dengan satu gol di hadapan.
KL City terus mengasak kubu Sabah bagi menambah jaringan di hadapan ribuan penyokong sendiri tetapi skuad Sabah bertahan dengan sangat berdisiplin.
Memasuki minit ke 85′ kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah yang tampak menguasai separuh masa kedua dengan kelebihan bermain di tempat sendiri.
Sabah berjaya mengikat kedudukan di masa kecederaan separuh masa kedua oleh Gabriel Peres bagi mengutip satu mata di halaman lawan.
Perlawanan tamat dengan keputusan terikat 1-1 bagi kedua-dua pasukan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Rabu.