Aksi membabitkan Terengganu FC dan PDRM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) merekodkan kehadiran kedua tertinggi untuk minggu kedua liga.
Data kehadiran minggu kedua menyaksikan 6,251 orang hadir di SSMZA untuk memberi sokongan kepada Peteh.
Kehadiran lebih 6,000 penyokong membantu Terengganu bangkit mengikat PDRM 2-2. Selepas ketinggalan menerusi dua gol Henri Doumbia, Peteh membalas menerusi Azam Azmi Murad dan Yann Mabella.
Aksi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Negeri Sembilan FC merekodkan kehadiran tertinggi minggu kedua iaitu 12,674 orang.
Lebih 12,000 penyokong meninggalkan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dengan rasa gembira apabila JDT menewaskan Negeri Sembilan 5-3.
Aksi Selangor FC dan Brunei DPMM FC pula merekodkan kehadiran ketiga tertinggi iaitu 4,260 orang. Dua gol Kevin Deeromram membantu Merah Kuning meraih kemenangan 3-0.
Kemunculan pertama Melaka FC dalam Liga Super menyaksikan 3,800 orang hadir di Stadium Hang Jebat. Aksi Melaka dan Penang FC menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Dua aksi merekodkan kehadiran melebihi seribu orang. Aksi tersebut ialah aksi KL City FC-Sabah FC dan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC)-Imigresen FC.
Aksi KL City-Sabah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur merekodkan kehadiran 1,838 orang. Aksi Kelantan TRW-Imigresen di Stadium Sultan Muhammad IV pula merekodkan 1,015 orang.
Minggu kedua liga menyaksikan kehadiran empat angka dalam lima daripada enam perlawanan. Hanya aksi JDT-Negeri Sembilan saja merekodkan kehadiran lima angka.
Liga Super berehat seketika untuk memberi laluan kepada saingan Piala FA. Saingan liga akan kembali bersambung pada 22 Ogos.