Terengganu berjaya menundukkan pasukan Imigresen dengan keputusan 2-3 dalam aksi minggu ke-12 saingan Liga Super 2025-2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang pada Jumaat.
Pasukan tuan rumah, Imigresen, membariskan Zarif Irfan di posisi penjaga gol dengan Rizal Ghazali menggalas lilitan kapten, manakala Joao Pedro mengemudi jentera serangan.
Sementara itu, Terengganu menurunkan Suhaimi Husin di benteng terakhir, dengan Careca menjadi sandaran untuk merobek gawang pasukan bimbingan Yusri Che Lah.
Kedua-dua pasukan tampak bermula garang dengan melancarkan serangan berbahaya ke arah gawang lawan masing-masing.
Terengganu membuka akaun jaringan aksi seawal minit ke-10 menerusi penyerang berbisa pasukan tersebut, Careca sekali gus memberikan kelegaan kepada kem Sang Penyu.
Berselang beberapa minit, Imigresen berjaya menyamakan kedudukan aksi selepas bintang sensasi kelab tersebut, Joao Pedro merobek gawang Terengganu pada minit ke-18.
Selepas itu, Terengganu dilihat meningkatkan serangan bagi memperoleh gol pendahuluan menerusi Gabriel Silva dan Akhyar Rashid.
Imigresen turut melakukan beberapa percubaan tepat menerusi barisan pemain hadapan namun gagal menerjah jaring Sang Penyu.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat 1-1 bagi kedua-dua pasukan.
Bersambung babak kedua, Imigresen & Terengganu dilihat meningkatkan intensiti aksi bagi menambah jaringan.
Terengganu melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang Imigresen namun berjaya ditepis oleh penjaga gol, Zarif Irfan.
Sang Penyu berjaya menambah jaringan pada minit ke-65 hasil tandukan tajam Careca selepas menerima umpanan cantik oleh Engku Shakir.
Terengganu sekali lagi meledak gol ke-3 perlawanan menerusi sepakan penalti oleh Gabriel Silva pada minit ke-74 sekali gus memastikan Sang Penyu selesa di hadapan.
Imigresen merapatkan kedudukan aksi kembali selepas pemain Terengganu, Syafiq Danial menjaringkan gol sendiri pada minit ke-87.
Tambahan masa 5 minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
Aksi di Stadium Negeri Pulau Pinang tamat dengan keputusan 2-3 memihak kepada pasukan pelawat, Terengganu.