Liga Super: Dua Aksi Rekod Kehadiran 5 Angka
MakanBola
Nursaifulsyah/MakanBola

Dua perlawanan merekodkan kehadiran lima angka untuk aksi Liga Super minggu ketiga.

Dua aksi yang berjaya mencapai angka tersebut ialah aksi Negeri Sembilan FC-Selangor FC dan Kuching City FC-Johor Darul Ta’zim (JDT) FC.

Aksi Sang Rusa dan The Red Giants di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi menyaksikan kehadiran 25,550 orang. Kehadiran mereka membantu Negeri Sembilan meraih kemenangan 2-1.

Aksi The Cats dan Harimau Selatan di Stadium Negeri, Kuching pula menyaksikan kehadiran 12,705 orang. Gol tunggal Jairo da Silva memastikan JDT meraih tiga mata penuh di bumi Sarawak.

Perlawanan Sabah FC dan Kelantan The Real Warrior FC (KTRW FC) merekodkan kehadiran ketiga tertinggi iaitu 6,438 orang. Aksi tersebut menyaksikan tuan rumah diikat The Real Warriors tanpa jaringan.

Ini disusuli aksi Brunei DPMM FC dan Terengganu FC di Stadium Hassanal Bolkiah yang merekodkan kehadiran 5,425 orang. Tuan rumah kecewa apabila dibelasah Peteh 5-0.

Satu-satunya aksi yang merekodkan kehadiran tiga angka ialah aksi PDRM FC dan Melaka FC. Aksi tersebut merekodkan kehadiran 320 orang di Stadium Selayang.

Aksi keempat liga akan berlangsung dari 27 hingga 30 Ogos. Ini termasuk aksi tertunda antara Sabah dan Melaka pada 29 Ogos.