Terengganu berjaya mengikat pasukan Kuching City dengan keputusan 1-1 di Stadium Mizan Zainal Abidin pada Jumaat dalam aksi minggu ke 11 Liga Super 2025-2026.
Pasukan tuan rumah, Terengganu menurunkan Suhaimi Husin di benteng terakhir dan Shahrul Nizam menggalas lilitan kapten manakala Careca sebagai ayam tambatan Sang Penyu.
Sementara itu, Kuching City membariskan Haziq Nadzli di bahagian penjaga gol dan James Okwuosa di posisi pertahanan sambil memimpin pasukan manakala Ronald Ngah mengemudi jentera serangan.
Sang Penyu tampak bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu pasukan lawan menerusi gerakan lincah Akhyar Rashid dan Careca.
Jimmy Raymond dilayangkan kad kuning seawal minit ke 16 selepas menjatuhkan Akhyar Rashid ketika beliau sedang melakukan serangan balas ke arah gawang The Cats.
Bintang Terengganu, Junior Sam terus menerus mengasak kubu Kuching City namun ketangkasan Yuki Tanigawa yang mematahkan segala bentuk serangan harus diberi pujian.
Kuching City turut melakukan beberapa percubaan berbahaya menerusi gandingan penyerang berbisa, Ronald Ngah dan Ramadhan Saifullah namun gagal menepati sasaran dalam tempoh 30 minit pertama.
Petrus Shitembi berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke 45 hasil hantaran cantik oleh Moses Atede sebelum tamat separuh masa pertama.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat, Kuching City.
Bersambung babak kedua aksi, Terengganu terus meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol penyamaan dalam perlawanan ini.
Akhyar Rashid berjaya meledak gol cantik pada minit ke 48 namun gol tersebut dibatalkan selepas penilaian VAR kerana beliau berada dalam kedudukan offside.
Pemain Kuching City, Daniel Amir turut melepaskan satu rembatan kencang pada minit ke 53 namun hanya singgah di atas palang pasukan lawan.
Kedua-dua pasukan dilihat melakukan serangan balas berbahaya ke arah gawang lawan masing-masing dalam tempoh 10 minit bagi mencari gol.
Memasuki minit ke 70 kedudukan masih didahului oleh pasukan pelawat, Kuching City meskipun Terengganu melakukan beberapa percubaan tepat ke arah kubu The Cats.
Terengganu berjaya melakukan 3 percubaan berbahaya dalam satu serangan pada minit ke 72 menerusi barisan hadapan Sang Penyu namun ketangkasan penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli harus diberi pujian.
Sang Penyu tampak menguasai 10 minit terakhir aksi dengan asakan bertubi-tubi namun masih gagal menembusi gawang The Cats.
Engku Shakir berjaya menyamakan kedudukan kembali pada masa kecederaan separuh masa kedua sekaligus memastikan pasukan tuan rumah, Terengganu meraih satu mata berharga.
Kedua-dua pasukan terpaksa akur tamat aksi bersama 10 pemain sahaja apabila pertahanan Terengganu, Safwan Mazlan dan bek kiri Kuching City, Filemon Anyie dilayangkan kad merah pada minit akhir babak kedua.
Perlawanan tamat dengan keputusan terikat 1-1 bagi kedua-dua pasukan dalam aksi minggu ke 11 Liga Super 2025-2026.