Johor Darul Ta’zim (JDT) dipaksa bekerja keras sebelum mengatasi tentangan hebat Negeri Sembilan dalam aksi kedua Liga Super pada Selasa.
Kebangkitan bergaya JDT ini menyaksikan pasukan Harimau Selatan ini meneruskan permulaan positif setelah menjulang Piala Sumbangsih Jumaat lalu dengan mengatasi Selangor.
Negeri Sembilan terlebih dahulu mencipta kejutan pada aksi ini dengan dua gol pantas menerusi Joseph Esso pada minit ke-8 dan Jovan Motika pada minit ke-12 untuk tuan rumah ketinggalan.
Seakan tersentak, JDT segera membalas dengan serangan bertali arus dan Jon Irazabal berjaya menanduk gol pertama pada minit ke-38 hasil sepakan penjuru oleh pemain gantian, Arif Aiman.
4 minit berselang, Joao Figueiredo memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan untuk menyamakan kedudukan buat JDT dan kembali bilik persalinan dengan keputusan terikat 2-2.
Separuh masa pertama tamat, JDT 2-2 Negeri Sembilan.
Bersambung babak kedua, pasukan Harimau Selatan berjaya bangkit dari ketinggalan untuk mendahului 4-2 hasil jaringan Jon Irazabal dan juga Arif Aiman masing-masing pada minit ke-57 dan 59.
Jovan Motika kembali merapatkan kedudukan 4-3 menerusi jaringan di minit ke-60 sekaligus memberikan harapan buat Negeri Sembilan untuk mencari gol penyamaan selepas itu.
Walau bagaimanapun, Bergson melengkapkan malam yang gemilang buat Harimau Selatan dengan jaringan ke-5 pada penghujung aksi bagi menamatkan cabaran sengit oleh Jang.
Aksi di Stadium Sultan Ibrahim berakhir dengan keputusan 5-3 memihak JDT.