Liga Super: JDT Kembali Kuasai Statistik Kehadiran Minggu Ke-5
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali menguasai statistik kehadiran aksi Liga Super minggu kelima.

Statistik kehadiran aksi minggu tersebut menyaksikan 12,840 orang penyokong menonton aksi JDT dan Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Penyokong yang hadir bukan saja terhibur melihat Harimau Selatan membelasah Sang Badak 8-0. Malah, mereka dapat melihat Bergson da Silva mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman liga.

Kehadiran kedua tertinggi direkodkan dalam aksi antara Kuching City FC dan Selangor FC. Aksi tersebut menyaksikan 5,654 orang hadir di Stadium Negeri, Kuching.

Aksi itu menyaksikan Selangor tumbang buat kali ketiga dalam lima aksi terakhir mereka. Ramadhan Saifullah muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan.

Aksi Terengganu FC dan Melaka FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) merekodkan kehadiran ketiga tertinggi iaitu 4,530 orang.

Penyokong Peteh di SSMZA pulang ceria apabila Terengganu membelasah pelawat 4-0. Yann Mabella, Nurillo Tukhtasinov dan Careca mencetak nama sebagai penjaring.

Aksi Brunei DPMM FC dan KL City FC merekodkan kehadiran keempat tertinggi iaitu 3,200 orang. Aksi di Stadium Hassanal Bolkiah menyaksikan The City Boys membelasah tuan rumah 4-0.

1,957 orang di Stadium Selayang hadir menyaksikan aksi PDRM FC dan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC). Aksi itu menyaksikan tuan rumah meraih kemenangan bermakna 3-1 ke atas pelawat.

Satu-satunya perlawanan yang merekodkan kehadiran tiga angka ialah aksi Imigresen FC dan Negeri Sembilan FC. Aksi ini merekodkan kehadiran 373 orang.

Selepas ketinggalan menerusi gol Wilmar Jordan Gil, Sang Rusa bangkit menyamakan kedudukan menerusi Jovan Motika.

Aksi keenam liga akan berlangsung dari 26 hingga 28 September ini.