JDT berjaya meleburkan rekod tanpa kalah pasukan KL City dalam saingan Liga Super 2025-2026 dengan keputusan 0-4 di Stadium Bola Sepak, Kuala Lumpur pada Rabu.
JDT membariskan Syihan Hazmi di bahagian penjaga gol dan Jairo da Silva mengemudi jentera serangan manakala Afiq Fazail menggalas lilitan kapten.
Sementara itu, KL City menurunkan Quincy Kammeraad di benteng terakhir dan gandingan Kpah Sherman & Safawi Rasid untuk merobek gawang Harimau Selatan.
Kedua-dua pasukan tampak saling berbalas serangan pada awal minit perlawanan.
Safawi Rasid melepaskan satu percubaan berbahaya menerusi sepakan percuma namun gagal menepati sasaran gawang Harimau Selatan.
JDT berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke-28 menerusi pemain pertahanan, Antonio Glauder sekali gus memberikan kelebihan satu gol bagi Harimau Selatan.
Manuel Hidalgo menambah luka pasukan KL City apabila meledak jaringan kedua aksi hasil kesilapan penjaga gol KL City, Quincy Kammeraad yang gagal menangkap bola dengan kemas.
Jairo da Silva menutup separuh masa pertama dengan menjaringkan gol ke-3 aksi pada masa kecederaan.
Babak pertama tamat dengan keputusan 0-3 memihak kepada pasukan pelawat, JDT.
Bersambung babak kedua, JDT terus menerus mengasak gawang pasukan KL City bagi menambah jaringan perlawanan.
Harimau Selatan tampak menguasai penuh perlawanan pada separuh masa kedua dengan melakukan lambakan percubaan berbahaya.
KL City dilihat buntu untuk mencari gol pembukaan aksi apabila segala percubaan penyerang The City Boys berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol JDT, Syihan Hazmi.
JDT terus selesa di hadapan selepas Oscar Arribas meledak gol ke-4 aksi menerusi rembatan kencang dari luar kawasan kotak penalti KL City sekaligus mematikan langkah pasukan tuan rumah.
Memasuki minit ke-80 kedudukan masih didahului oleh pasukan pelawat, JDT dengan 4 jaringan di hadapan.
Ryan Lambert melepaskan satu percubaan kencang pada minit ke-81 namun rembatan tersebut gagal menerjah jaring JDT.
Tambahan masa 3 minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
Aksi di Stadium Bola Sepak, Kuala Lumpur tamat dengan keputusan 0-4 memihak kepada pasukan pelawat, JDT.