Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memperkukuhkan cengkaman di puncak liga apabila membelasah PDRM FC di Stadium Selayang.
JDT berharap dapat kembali meraih kemenangan selepas diikat tanpa jaringan oleh Machida Zelvia. PDRM pula mahu meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC).
Penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Bergson da Silva mengetuai jentera serangan Harimau Selatan. Henri Doumbia menjadi sandaran gol The Cops.
Sebaik perlawanan bermula, JDT berusaha mencari gol pendahuluan menerusi Bergson, Arif Aiman Hanapi, Jairo da Silva dan Ager Aketxe.
Situasi ini memaksa barisan pertahanan PDRM diketuai bekas kapten Sabah FC, Park Tae-su bekerja keras menyerap asakan pelawat.
Gawang tuan rumah yang dikawal Nor Hakeem Hamidun akhirnya bocor pada minit ke-28 menerusi Arif Aiman.
Lima minit kemudian, pemain sayap kebangsaan itu sekali lagi merobek gawang The Cops bagi menjadikan kedudukan 2-0.
JDT berusaha menambah kelebihan gol mereka tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Harimau Selatan semakin ghairah memburu gol tambahan bagi melebarkan kelebihan mereka.
Kedudukan JDT makin sukar dicabar apabila Bergson meledakkan gol ketiga pasukan itu pada minit ke-54.
Eddy Israfilov menambah derita tuan rumah dengan meledakkan gol keempat pelawat pada minit ke-67. Selepas dinafikan Nor Hakeem pada awalnya, Israfilov memastikan gol keempat buat JDT.
Kesungguhan Jairo memburu gol akhirnya membuahkan hasil apabila meledakkan gol kelimanya dalam liga pada minit ke-77.
Situasi ini mendorong jurulatih JDT, Xisco Munoz merehatkan Aketxe dan Bergson dengan memasukkan Romel Morales dan Manuel Hidalgo sebagai pemain gantian.
Morales membuat impak segera dengan meledakkan gol keenam JDT pada minit ke-83. Ini disusuli Jairo yang merobek gawang Nor Hakeem buat kali kedua dua minit selepas itu.
PDRM berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan JDT terus mendahului liga dengan 21 mata.
Selepas ini, JDT akan menentang Brunei DPMM FC pada 25 Oktober. PDRM pula akan menentang Negeri Sembilan FC pada hari yang sama.