Johor Darul Ta’zim (JDT) dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Kuching City FC tanpa di Stadium Negeri, Kuching.
JDT berharap dapat meneruskan rentak kemenangan selepas mengatasi Lion City Sailors (LCS) dalam saingan Shopee Cup. The Cats pula mahu bangkit selepas tewas 3-2 kepada Brunei DPMM FC dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA.
Syihan Hazmi Mohamed kembali sebagai penjaga gol menggantikan Christian Abad. Ronald Ngah Wanja, Hazwan Bakri dan Ramadhan Saifullah menjadi sandaran gol Kuching City.
Babak pertama menyaksikan Harimau Selatan berusaha merobek benteng tuan rumah menerusi Jairo da Silva, Arif Aiman Hanapi dan Joao Figueiredo.
Malangnya, benteng Kuching City diketuai James Okwuosa kerap menghampakan setiap percubaan yang digerakkan pelawat.
Percubaan terbaik JDT pada babak pertama hadir menerusi Figueiredo. Malangnya, percubaan penyerang Harimau Malaya itu terbang melepasi palang gol.
Usaha keras The Cats mempertahankan gawang mereka memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus mengasak untuk memecah kebuntuan perlawanan.
Lima minit selepas babak kedua bermula, Kuching City terpaksa bermain dengan 10 pemain. Ini selepas pengadil, Razlan Joffri Ali melayangkan kad merah kepada bek tengah, Yuki Tanigawa.
Kelebihan 11 pemain pantas dimanfaatkan JDT. Akhirnya, gawang Kuching City yang dikawal Haziq Nadzli bocor pada minit ke-60 menerusi tandukan Jairo.
Figueiredo sekali lagi mencemaskan benteng The Cats menerusi percubaan lencong pada minit ke-66. Percubaan bekas penyerang Istanbul Basaksehir itu pantas dinafikan Haziq.
Kuching City berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan JDT kembali memintas Terengganu FC sebagai pendahulu liga dengan sembilan mata.
Kuching City pula jatuh ke tangga kelima liga dengan tiga mata selepas mengharungi dua perlawanan.
Selepas ini, JDT akan menentang Imigresen FC pada 28 Ogos. Kuching City pula akan menentang Negeri Sembilan FC pada 29 Ogos.