KL City FC meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan PDRM FC dalam aksi terbaru Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
The City Boys ingin menambah kemenangan ketiga selepas menewaskan Penang FC 2-1. The Cops pula berharap dapat meraih kemenangan pertama liga di Cheras.
Pemain baharu KL City, Victor Ruiz diletakkan di bangku simpanan. Henri Doumbia mengetuai jentera serangan PDRM.
KL City memburu gol pendahuluan menerusi gandingan Kpah Sherman, Safawi Rasid, Nicolao Cardoso dan Paulo Josue.
Walau bagaimanapun, mereka perlu menunggu sehingga minit ke-25 untuk membuka tirai jaringan menerusi Safawi. Ini gol ketiga pemain sayap Harimau Malaya itu bersama KL City.
Tersentak, PDRM yang dibimbing Eddy Gapil berusaha untuk bangkit memburu gol penyamaan.
Malangnya, barisan pertahanan The City Boys diketuai Giancarlo Gallifuoco bijak mematahkan setiap serangan pelawat. Ini memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, KL City terus ghairah memburu gol tambahan untuk meningkatkan kelebihan mereka.
Hasilnya, Josue pantas menyudahkan hantaran Sherman yang menewaskan penjaga gol PDRM, Ifwat Akmal Chek Kassem pada minit ke-52.
Situasi ini mendorong Eddy memasukkan Fadi Awad dan Fakhrul Azim Mohd Zulphatah untuk memperkemas jentera pasukan itu.
The Cops makin derita apabila dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-74. Ini selepas VAR mengesan kekasaran ke atas pemain KL City dalam kotak penalti.
Cardoso tenang menewaskan Ifwat bagi menjadikan kedudukan 3-0. PDRM bernasib baik apabila gol Ruiz pada minit ke-83 dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.
Kapten The Cops, Kyaw Min Oo menyumbat gol saguhati pada minit ke-89. Min Oo melepaskan sepakan percuma deras yang menewaskan penjaga gol KL City, Quincy Kammeraad.
Keputusan ini menyaksikan KL City merampas tampuk pendahulu liga dengan 10 mata. PDRM pula turun ke tangga ketujuh dengan tiga mata.
Selepas ini, KL City akan menentang Brunei DPMM FC pada 22 September. PDRM pula akan menentang Kelantan The Real Warrior FC (KTRW FC) pada 20 September.