KL City berjaya menundukkan skuad Brunei DPMM dengan keputusan 0-4 di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah pada Isnin.
Pasukan tuan rumah, Brunei DPMM menurunkan Haimie Abdullah di bahagian penjaga gol dan Ramadhan Sananta mengemudi jentera serangan manakala Azwan Ali Rahman menggalas lilitan kapten.
Sementara itu, KL City membariskan Quincy Kammeraad di benteng terakhir dan penyerang berprolifik, Kpah Sherman di bahagian hadapan skuad tersebut.
Skuad pelawat, KL City terus melancarkan serangan berbahaya ke arah gawang pasukan Brunei DPMM meskipun beraksi di halaman lawan.
Brunei DPMM turut beraksi baik dengan menahan dan menepis segala serangan skuad KL City pada 20 minit awal permainan.
The City Boys berjaya memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke 25′ hasil jaringan sendiri oleh Yura Indera bagi memastikan skuad tersebut mendahului dengan satu gol.
Brunei DPMM yang tersentak dengan jaringan tersebut dilihat meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol penyamaan.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat, KL City.
Bersambung babak kedua perlawanan, skuad pelawat, KL City terus mengasak kubu pasukan Brunei DPMM bagi menambah gol aksi.
Pemain tengah KL City, Victor Ruiz berjaya menambah gol kedua skuad The City Boys pada minit ke 55′ hasil gerakan cantik bersama-sama dengan Syamer Kutyy.
KL City terus menerus mencari gol ketiga bagi mengukuhkan lagi kedudukan semasa perlawanan dengan Victor Ruiz melepaskan rembatan kencang pada minit ke 60′ namun tendangan tersebut tersasar.
Safawi Rasid terus menambah derita skuad Brunei DPMM dengan meledak gol kencang pada minit ke 64′ sekaligus menutup peluang skuad tuan rumah untuk meraih 3 mata penuh.
Safawi Rasid sekali lagi menembusi gawang skuad Brunei DPMM pada minit ke 84′ bagi mematikan langkah skuad tuan rumah tersebut.
Perlawanan tamat dengan keputusan 0-4 memihak kepada pasukan pelawat, KL City yang kini berada di tangga kedua kedudukan saingan Liga Super setakat ini.