Liga Super: Kuching City Buat Sabah Terus Kempunan 3 Mata
MakanBola
SABAH FC

Kuching City berjaya menundukkan skuad Sabah dengan keputusan 1-0 sekaligus The Rhinos masih gagal mencatatkan kemenangan dalam 6 aksi pertama Liga Super musim ini.

Sabah membariskan Khairul Fahmi di benteng terakhir dan Dominic Tan mengetuai kesebelasan utama manakala Fergus Tierney mengemudi jentera serangan.

Sementara itu, pasukan Kuching City menurunkan Wan Azraie dan Ramadhan Saifullah menjadi ayam tambatan skuad tersebut.

Kedua-dua kelab dilihat melancarkan beberapa serangan awal ke arah kubu lawan masing-masing namun tidak menemui jaring.

Ramadhan Saifullah melepaskan satu rembatan kencang pada minit ke 31′ namun tidak menepati sasaran.

Sabah yang dilihat kekal berdisiplin menjaga gawang meskipun ditekan oleh pemain-pemain Kuching City.

Perlawanan separuh masa pertama tamat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.

Memasuki babak kedua perlawanan, skuad pelawat, Kuching City terus mengasak kubu Sabah bagi mencari gol pembukaan.

Kuching City tampak menguasai perlawanan di awal separuh masa kedua dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang The Rhinos.

Memasuki minit ke 70′ kedua-dua pasukan masih gagal menembusi kubu lawan masing-masing walaupun menampilkan aksi yang menarik.

Jordan Mintah berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke 74′ menerusi tandukan sekaligus menjarakkan kedudukan di hadapan dengan satu gol.

Sabah yang tersentak dengan jaringan tersebut dilihat meningkatkan serangan untuk mencari gol penyamaan namun ketangkasan penjaga gol Kuching City, Wan Azraie harus diberi pujian.

Perlawanan tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat, Kuching City.

The Rhinos bakal meneruskan aksi dalam saingan Piala FA dengan menentang Kelantan TRW bagi perlawanan suku akhir musim ini di halaman lawan pada 17 Oktober 2025.

Sementara itu, Kuching City bakal menentang Terengganu bagi aksi suku akhir Piala FA musim ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 18 Oktober 2025.