Liga Super: Kuching City Tambah Malang Selangor
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC terus dirundung kecewa apabila tewas kepada Kuching City FC dalam aksi terbaru Liga Super di Kuching, Sarawak.

Selepas tewas 4-2 di tangan Bangkok United dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Selangor berazam untuk bangkit meraih kemenangan di Kuching.

The Cats pula mahu meneruskan rentak kemenangan selepas membelasah Brunei DPMM FC 7-1 dalam aksi kedua pusingan 16 Piala FA.

Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim mengetuai barisan anak buah Katsuhito Kinoshi. Ronald Ngah Wanja terus menjadi sandaran gol pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak.

Separuh masa pertama menyaksikan Kuching City berusaha mendapatkan gol menerusi Danial Asri, Wanja, Ramadhan Saifullah dan Petrus Shitembi.

Shitembi hampir meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-14. Malangnya, percubaan beliau dinafikan penjaga gol The Red Giants, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

The Cats menyangka mereka ditimpa malang apabila Danial Amier Norhisham diarah keluar padang oleh pengadil, Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah pada minit ke-39.

Ini selepas Danial Amier dikesan membuat terjahan merbahaya ke atas Alvin Fortes. Selepas diminta menyemak semula insiden oleh pegawai VAR, Syed Fazeel Shah Syed Anwar Shah, Tuan Mohd Yassin hanya melayangkan kad kuning kepada beliau.

Kesukaran kedua-dua pasukan untuk memecah kebuntuan memastikan keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Selangor mula meningkatkan asakan untuk meraih gol pendahuluan.

Chrigor Moraes hampir memecah kebuntuan pada minit ke-48 tetapi dihalang penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli.

Bekas penjaga gol Perak FC itu sekali lagi bertindak cemerlang dengan menafikan percubaan Fortes lapan minit selepas itu.

Situasi ini mendorong kedua-dua pasukan membuat pertukaran pemain. Aidil memasukkan penyerang naturalisasi baharu Malaysia, Jordan Mintah. Kinoshi pula memasukkan Mohammad Abualnadi.

Gol yang dicari tuan rumah akhirnya hadir pada minit ke-68. Hantaran Shitembi pantas disempurnakan Ramadhan yang menewaskan Kalamullah.

Moraes hampir menyamakan kedudukan buat Selangor pada minit ke-80. Bekas penyerang Buriram United itu hampa kerana percubaan rendahnya dinafikan Haziq.

The Red Giants terus memburu jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Selangor dipintas Kuching City untuk menduduki tangga keempat liga.

Selepas ini, Selangor mengalihkan fokus kepada aksi Shopee Cup menentang BG Tampines Rovers pada 24 September. Kuching City pula bersiap sedia menentang Imigresen FC pada 28 September.