Liga Super: PDRM Bangkit ‘Gari’ Brunei DPMM
MakanBola
PDRM FC

Pendatang baru Liga Super, Brunei DPMM FC membuka kempen liga dengan satu mata apabila diikat PDRM FC di Stadium Selayang.

Kedua-dua pasukan memiliki misi memburu kemenangan dalam aksi sulung liga. The Cops berharap kemenangan dapat memadamkan memori pahit tewas dalam aksi pertama musim 2024/25.

Penyerang Indonesia, Ramadhan Sananta menjadi sandaran gol DPMM. Pemain perancang Jordan, Ahmed Israiwah menjadi nadi kreatif PDRM.

Keinginan The Cops memburu gol awal musnah apabila gawang mereka dibolosi seawal minit ketiga. Meskipun tandukannya berjaya dinafikan Ifwat Akmal Chek Kassim, Ramadhan memastikan percubaan susulannya menerjah jaring.

Tiga minit selepas itu, DPMM menggandakan kelebihan gol menerusi Miguel Oliveira. Oliveira pantas menyudahkan hantaran Ramadhan yang menewaskan Ifwat Akmal.

PDRM menyangka mereka mendapat talian hayat apabila diberi sepakan penalti pada minit ke-23. Ini selepas VAR mengesan kekasaran yang dilakukan Kristijan Naumovski ke atas Park Tae-su.

Malangnya, penalti yang diambil Israiwah pantas dinafikan penjaga gol Macedonia itu. Kecekapan Naumovski memastikan DPMM mendahului 2-0 sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, PDRM terus menggandakan tekanan untuk memburu jaringan penyamaan.

Pengendali The Cops, Eddy Gapil kemudiannya memasukkan Imran Samso dan Eizrul Ashraf Nor Effendy untuk memperkemaskan jentera pasukan itu.

Hasilnya, tuan rumah merapatkan jurang menerusi bekas kapten Sabah FC, Park Tae-su pada minit ke-68. Empat minit selepas itu, bek tengah Korea Selatan itu menjadikan kedudukan 2-2.

Dua gol Tae-su memberi keyakinan kepada PDRM untuk memburu kemenangan di Selayang. Situasi ini mendorong DPMM memasukkan Syafiq Ahmad sebagai pemain gantian.

Kedua-dua pasukan berusaha memburu gol kemenangan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan DPMM dan PDRM masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima dengan satu mata.

Selepas ini, DPMM akan menentang naib juara Liga Super musim lepas, Selangor FC pada 12 Ogos. PDRM pula akan menentang Terengganu FC sehari selepas itu.