Sabah FC bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Peteh semakin bersemangat selepas mengalahkan Imigresen FC 3-2. Sabah pula memburu momentum positif selepas tewas di pentas final Piala FA 2025 dan kepada Brunei DPMM FC.
Tiada kelibat pemain tengah Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov dalam kesebelasan utama Terengganu. Ajdin Mujagic terus menjadi sandaran gol Sang Badak.
Sabah hampir berada di hadapan pada minit ke-13 menerusi Mujagic. Malangnya, tandukan penjaring terbanyak Piala FA itu tersasar.
12 minit kemudian, giliran Terengganu pula mengancam menerusi Akhyar Rashid. Pemain Harimau Malaya itu hampa apabila percubaannya terkena tiang.
Peteh kemudiannya terpaksa membuat pertukaran awal dengan memasukkan Safwan Mazlan sebagai pengganti Alif Zakaria. Ini selepas Alif mengalami kecederaan pada minit ke-27.
Akhyar menceriakan penyokong Terengganu dengan meledakkan gol pendahuluan pada minit ke-34. Ini juga gol pertama beliau dalam liga musim ini.
Sabah memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat menerusi gol Fergus Tierney pada minit akhir babak pertama.
Bersambung pada babak kedua, Peteh terus memburu gol kedua dibantu dengan sokongan penyokong di SSMZA.
Careca hampir menggandakan kelebihan Terengganu pada minit ke-69. Malangnya, percubaan cantik pemain perancang Brazil itu dinafikan Damien Lim.
Tatkala Peteh meningkatkan asakan, giliran pelawat pula mendahului pada minit ke-72. Hantaran jauh Tierney pantas disudahkan Mujagic yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Suhaimi Husin.
Sabah kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-87. Ini selepas bola terkena tangan Diego Landis dalam kotak penalti.
Mujagic tenang menewaskan Suhaimi untuk meraih gol keenam beliau dalam liga. Terengganu berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Terengganu kekal di tangga kelima dengan 18 mata. Sabah pula terus menghambat DPMM dengan 14 mata, satu mata di belakang pasukan itu yang berada di tangga ketujuh.
Selepas ini, Peteh akan melayan kunjungan Penang FC pada 3 Januari. Sabah pula akan menentang Melaka FC pada hari yang sama.