Selangor berjaya membenam skuad Terengganu dengan keputusan 5-2 di hadapan ribuan penyokong sendiri pada Rabu.
Pasukan tuan rumah, The Red Giants menurunkan Kalamullah Al Hafiz di benteng gawang dan Chrigor Moraes sebagai ayam tambatan skuad tersebut manakala Richmond Ankrah di bahagian pertahanan.
Selepas itu, Terengganu membariskan Suhaimi Husin di bahagian penjaga gol dan Careca mengemudi jentera serangan manakala Shahrul Nizam mengetuai skuad tersebut bagi aksi ini.
Selangor memulakan aksi ini dengan begitu laju bagi mencari jaringan pembukaan di hadapan ribuan penyokong sendiri yang berada di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Chrigor Moraes berjaya membuka akaun jaringan pasukan Selangor pada minit ke 17′ hasil tandukan tepat ke gawang skuad Peteh bagi menewaskan penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin.
Berselang 7 minit, Alvin Fortes menjaringkan gol kedua dengan rembatan kencang dalam kawasan kotak penalti skuad Terengganu.
Terengganu dilihat tertekan apabila skuad Selangor tampak menguasai penuh perlawanan separuh masa pertama namun skuad Peteh turut melakukan beberapa percubaan namun kesemuanya tidak menepati sasaran.
Chrigor Moraes meledak jaringan kedua pada minit ke 36′ bagi memastikan skuad Selangor mendahului perlawanan dengan 3 jaringan.
Memasuki minit kecederaan separuh masa pertama, Chrigor Moraes berjaya mencatatkan hatrik pertama beliau bagi menjarakkan kedudukan dengan Terengganu lebih selesa.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 4-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Selangor.
Bersambung babak kedua, Terengganu dilihat melancarkan percubaan berbahaya ke gawang Selangor bagi membuka akaun jaringan skuad tersebut.
Memasuki minit ke 68′ kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah, Selangor dengan 4 jaringan di hadapan hasil ledakan hatrik Chrigor Moraes dan satu gol dari Alvin Fortes.
Skuad Peteh dihadiahkan sepakan penalti kerana terjahan Shahrul Nazeem ke atas pemain Terengganu dalam kawasan kotak penalti Selangor.
Terengganu berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke 70′ hasil sepakan penalti oleh pemain gantian, Gabriel Silva bagi merapatkan defisit gol.
Skuad Peteh terus mengasak kubu pasukan Selangor bagi mendapatkan jaringan tambahan dan satu mata berharga dibawa pulang ke Terengganu.
Terengganu berjaya menambah gol pada minit ke 81′ menerusi Junior Sam hasil rembatan mudah di hadapan gawang skuad Selangor.
Selangor berjaya melengkapkan malam gemilang dengan jaringan ke 5 oleh pemain gantian, Aliff Izwan hasil ledakan berbisa pada minit kecederaan separuh masa kedua.
Perlawanan tamat dengan keputusan 5-2 memihak kepada pasukan tuan rumah, Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Rabu.
Selangor bakal meneruskan aksi dengan menentang pasukan Malaysia University bagi perlawanan kedua saingan Piala FA dan Terengganu bakal berdepan Imigresen dalam saingan yang sama pada 13 September.