Selangor FC kembali melakar kemenangan apabila menewaskan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) di Stadium MBPJ.
Selepas gagal meraih kemenangan dalam beberapa perlawanan, Merah Kuning perlu menang untuk terus memburu kelompok tiga pasukan teratas liga.
Gandingan Alvin Fortes, Chrigor Moraes dan Faisal Halim terus menjadi taruhan Christophe Gamel. Abdul Sesay mengisi slot yang ditinggalkan kapten Kelantan TRW, Ifedayo Olusegun.
Separuh masa pertama menyaksikan Selangor berusaha mencari gol pendahuluan menerusi Fortes, Moraes dan Faisal.
Gol yang dicari tuan rumah hadir pada minit ke-21. Fortes tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol Kelantan TRW, Damyan Damyanov.
Selangor terus memberi tekanan untuk memburu gol tambahan tetapi tidak berhasil. Situasi ini menyaksikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, tuan rumah semakin bersemangat memburu gol dibantu dengan sokongan padu penyokong di Stadium MBPJ.
Selangor menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-55 menerusi Moraes. Bekas penyerang Buriram United itu memanfaatkan kesilapan pertahanan pelawat untuk gol kedua Selangor.
Kelantan TRW makin derita apabila Sesay dibuang padang lima minit selepas itu. Ini selepas beliau mengutip kad kuning kedua.
Sean Selvaraj hampir merapatkan jurang buat Kelantan TRW pada minit ke-66. Malangnya, percubaan bekas pemain sayap Sri Pahang FC itu disekat Richmond Ankrah.
Kelantan TRW berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Selangor kekal di tangga keempat dengan 16 mata.
Kelantan TRW pula kekal di tangga ketujuh dengan 11 mata. Selepas ini, Selangor akan menentang Penang pada 7 Disember ini.
Kelantan TRW pula akan berehat sebelum turun menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 20 Disember.