Liga Super: Selangor Buat Penang Terus Kempunan 3 Mata
MakanBola
SELANGOR FC

Selangor berjaya menumpaskan pasukan tuan rumah, Penang dengan keputusan 1-5 bagi aksi minggu ke-11 saingan Liga Super 2025-2026 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.

Selangor membariskan Sikh Izhan di benteng terakhir dan Faisal Halim menggalas lilitan kapten manakala Chrigor Moraes mengemudi jentera serangan.

Sementara itu, Penang menurunkan Ramadhan Hamid dan Stefano Brundo memimpin Harimau Kumbang bagi aksi ini.

Penang tampak menguasai perlawanan di awal minit babak pertama aksi dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya menerusi gandingan Tchetche Kipre dan Wenzel-Halls.

Selangor berjaya membuka akaun jaringan aksi pada minit ke-26 melalui bintang sensasi, Faisal Halim menerusi rembatan kencang sekaligus memberikan kelegaan kepada kem pasukan Selangor selepas perlawanan diberhentikan lebih 15 minit disebabkan masalah lampu limpah.

Penang dilihat meningkatkan serangan bagi memperoleh gol penyamaan namun ketangkasan pemain-pemain The Red Giants harus diberi pujian.

Perlawanan tampak semakin parah apabila aksi Penang & Selangor sekali lagi diberhentikan akibat masalah lampu limpah di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Selepas itu, aksi babak pertama diteruskan dengan tambahan masa selama 28 minit bagi mengakhiri separuh masa awal.

Selangor berjaya meledak gol kedua aksi pada minit ke-4 masa kecederaan babak pertama selepas percubaan kencang Faisal Halim yang singgah di atas palang pasukan lawan melantun kembali kepada pemain The Red Giants dan disudahkan baik oleh Picha Autra.

The Red Giants sekali lagi berjaya merobek gawang Harimau Kumbang menerusi penyerang berbisa, Chrigor Moraes selepas menerima hantaran lintang cantik oleh bintang kelab tersebut, Faisal Halim pada minit ke-11 masa kecederaan babak pertama.

Penang dilihat meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol pertama pasukan bagi menceriakan penyokong-penyokong di laman sendiri.

Usaha tersebut dilihat membuahkan hasil apabila penyerang berprolifik Penang, Tchetche Kipre berjaya menjaringkan gol pertama pasukan Harimau Kumbang pada minit ke-18 masa kecederaan separuh masa pertama.

Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-3 memihak kepada pasukan pelawat, Selangor.

Bersambung babak kedua, Selangor dilihat meningkatkan serangan bagi mencari gol tambahan dan memastikan membawa pulang 3 mata penuh.

The Red Giants berjaya menambah gol ke-4 aksi menerusi penyerang berbisa, Chrigor Moraes pada minit ke-59 bagi memastikan Selangor mendahului perlawanan dengan 3 jaringan.

Beliau berjaya melengkapkan hatrik bagi aksi ini dengan mencetak gol ke-5 Selangor dan jaringan ke-3 secara peribadi pada minit ke-75 sekaligus menutup peluang pasukan Harimau Kumbang untuk meraih satu mata.

Memasuki minit ke-85 kedudukan masih didahului oleh pasukan pelawat, Selangor dengan 4 gol.

Penang turut melakukan beberapa percubaan ke arah gawang pasukan Selangor namun segala usaha tersebut berjaya dipatahkan oleh pihak lawan.

Aksi tamat dengan keputusan 1-5 memihak kepada pasukan pelawat, Selangor.

Kemenangan ini menyaksikan Selangor kekal berada di tangga ke-4 manakala Penang di tempat terakhir selepas minggu ke-11 Liga Super 2025-2026.