Selangor menumpaskan pasukan PDRM dengan keputusan 1-3 bagi aksi minggu ke-13 saingan Liga Super musim 2025-2026 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Selasa.
Selangor membariskan Kalamullah Al-Hafiz di benteng terakhir manakala Faisal Halim menggalas lilitan kapten dan penyerang berbisa, Chrigor Moraes sebagai ayam tambatan pasukan.
Sementara itu, PDRM menurunkan Ifwat Akmal sebagai penjaga gol dan Park Tae-su mengetuai pasukan The Cops.
Selangor bermula garang dengan melancarkan serangan berbahaya pada awal minit aksi meskipun beraksi di halaman lawan.
The Red Giants dilihat menguasai 10 minit pertama perlawanan dengan melepaskan beberapa percubaan menerusi Chrigor Moraes dan Faisal Halim.
Selangor membuka akaun jaringan aksi pada minit ke-20 menerusi tandukan penyerang berbisa, Chrigor Moraes yang menerima umpanan cantik oleh Faisal Halim sekali gus memberikan kelebihan kepada pasukan The Red Giants.
Selangor sekali lagi melepaskan satu percubaan kencang ke arah gawang PDRM menerusi Alvin Fortes namun gagal menepati sasaran pada minit ke-27.
Faisal Halim gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk meledak jaringan kedua aksi pada minit ke-37 selepas rembatan beliau tersasar dari gawang PDRM.
PDRM tampak melakukan satu percubaan berbahaya pada minit akhir separuh masa pertama namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat, Selangor.
Bersambung babak kedua aksi, Selangor terus menerus mengasak kubu pasukan PDRM bagi menambah jaringan.
Chrigor Moraes sekali lagi meledak gol aksi pada minit ke-49 untuk memastikan Selangor mendahului perlawanan dengan 2 gol di hadapan.
PDRM mendekatkan defisit gol pada minit ke-53 menerusi Fakhrul Azim bagi memberikan cabaran kembali kepada pasukan Selangor.
Noor Al-Rawabdeh merobek gol ketiga Selangor selepas menerima umpanan mudah oleh pemain gantian, Zikri Khalili pada minit ke-67.
Selangor tampak menguasai penuh perlawanan separuh masa kedua dengan melakukan lambakan percubaan ke arah kubu lawan.
Aksi tamat dengan keputusan 1-3 memihak kepada pasukan pelawat, Selangor.