Liga Super: Taring JDT Sukar Digugat Kelantan TRW
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

JDT menundukkan pasukan Kelantan TRW dengan keputusan 4-1 dalam aksi minggu ke-12 saingan Liga Super musim 2025-2026 di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.

Harimau Selatan membariskan Syihan Hazmi di benteng terakhir dengan Corbin Ong sebagai pertahanan kiri manakala Manuel Hidalgo mengemudi jentera serangan.

Sementara itu, Kelantan TRW menurunkan Damyan Damyanov di posisi penjaga gol dan Sean Selvaraj sebagai ayam tambatan pasukan tersebut.

JDT bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya pada awal minit perlawanan.

Bintang sensasi dari Brazil, Jairo da Silva berjaya membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke-21 sekali gus memberikan kelegaan kepada kem pasukan JDT.

Harimau Selatan terus menerus mengasak kubu Kelantan TRW menerusi Manuel Hidalgo & Teto Martin namun gagal menemui sasaran.

Kelantan The Real Warriors turut melakukan beberapa serangan balas namun ketangkasan pertahanan JDT harus diberi pujian selepas berjaya menyekat segala asakan.

Teto Martin menambah derita pasukan Kelantan TRW apabila meledak gol kedua aksi pada minit ke-42.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada Harimau Selatan.

Bersambung babak kedua aksi, JDT tampak masih mengekalkan intensiti tinggi perlawanan bagi menambah jaringan.

JDT menambah gol ke-3 aksi pada minit ke -51 menerusi pemain sensasi Filipina-Sepanyol, Oscar Arribas sekali gus memberikan kelebihan 3 gol di hadapan.

Nazmi Faiz merobek gawang Kelantan TRW pada minit ke-56 bagi mematikan langkah pasukan KTRW yang ketinggalan dengan 4 jaringan.

Kelantan TRW berjaya meraih gol saguhati aksi apabila pemain berpengalaman, Azam Azih melepaskan satu rembatan jauh yang menewaskan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi pada minit ke-75.

JDT tampak semakin menguasai aksi pada 10 minit terakhir babak kedua dengan melakukan lambakan percubaan ke kubu pasukan pelawat, KTRW.

Tambahan masa 5 minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.

Aksi tamat dengan keputusan 4-1 memihak kepada pasukan tuan rumah, JDT.