Jurulatih Lion City Sailors (LCS), Aleksandar Rankovic mengakui pasukan itu gerun dengan kelibat kapten Selangor FC, Faisal Halim.
Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat impak pemain sayap Harimau Malaya itu buat Merah Kuning musim ini.
Faisal membuktikan sentuhannya terus berbisa untuk musim 2025/26. Beliau telah merekodkan 10 gol dan tujuh bantuan gol dalam 22 penampilan semua kejohanna musim ini.
Ini termasuk satu gol dalam aksi terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam Kumpulan G ACL2 di Stadium Bishan pada Oktober lalu. Aksi itu menyaksikan Selangor tewas 4-2 kepada LCS.
Atas sebab itu, Rankovic mahu anak buahnya berada pada tahap terbaik jika ingin meraih kemenangan di Stadium MBPJ.
“Saya tak mahu pilih pemain tetapi kapten mereka, Faisal Halim ialah salah seorang (pemain) kegemaran saya dan boleh memberi ancaman merbahaya.
“Kita berdepan situasi tekanan tinggi dalam tempoh dua musim, jadi pemain-pemain saya tahu cara menanganinya,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Rankovic mengakui pasukannya perlu menang jika ingin mengiringi Bangkok United ke pusingan 16 terbaik ACL2.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan anak buahnya mereka perlu berjuang habis-habisan untuk matlamat tersebut. Meskipun sudah tersingkir, Rankovic tetap menganggap Selangor pencabar sukar.
“Sudah tentu, kita tidak memiliki apa-apa dalam tangan tetapi apa yang kita boleh kawal ialah perlawanan esok (hari ini).
“Ia bukan mudah kerana Selangor pasukan berbeza daripada pasukan yang kita hadapi buat kali pertama (pada Oktober).
“Mereka sudah beradaptasi dengan jurulatih baru dan anda dapat lihat hasilnya di atas padang,” ujarnya.
Selangor dan LCS akan berentap di Stadium MBPJ pada 10 Disember. Selangor melihat aksi ini sebagai peluang terakhir meraih kemenangan dalam ACL2 musim ini.