Kelab gergasi Singapura, Lion City Sailors telah mengikut teladan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Jaguh Asia Tenggara itu giat memperkuat pasukan menjelang saingan musim 2025-26 menerusi kemasukan beberapa muka baharu.
Lion City dan skuad Harimau Selatan rancak berbelanja bagi memantapkan pasukan dengan beberapa pemain ternama sudah dibawa bersama pasukan.
Skuad kendalian Aleksandar Rankovic telah mendapatkan khidmat penjaring terbanyak J-League, Anderson Lopes untuk mengemudi jentera serangan The Sailors.
Lion City turut mendapatkan khidmat penjaga gol import dari Croatia, Ivan Susak yang baru berusia 27 tahun.
Pemain berketinggian 2.03 meter itu pernah beraksi buat NK Maribor dan juga Slaven Belupo sebelum menyertai Lion City bagi musim baharu.
Perpindahan penjaga gol import ini telah dilakukan oleh JDT apabila mendapatkan sentuhan Andoni Zubiaurre dari Sepanyol bagi kempen AFC Champions League Elite (ACLE).
JDT kendalian Xisco Munoz yang kini mengharungi aksi pra-musim di Sepanyol telah mendapatkan khidmat tiga pemain warisan Harimau Malaya – Jon Irazabal (pertahanan), Hector Hevel (tengah) dan juga Joao Figueiredo (penyerang).
Juara bertahan Liga Super Malaysia 2024-25 itu juga menambah kekuatan bagi quota pemain import apabila mendapatkan 5 lagi muka baharu iaitu Jairo Da Silva (penyerang), Jonathan Silva dan Antonio Glauder (pertahanan), Ibrahim Manusi dan pemain warisan baharu, Nacho Mendez pada posisi tengah.
JDT bakal menggalas tugas besar selaku wakil Malaysia bagi saingan ACLE dan juga ACC Shopee Cup sementara Lion City bakal bertemu Harimau Selatan di Shopee Cup pada 21 Ogos ini.