Liverpool terlepas peluang meraih trofi pertama musim 2025/26 apabila tewas kepada Crystal Palace dalam aksi Community Shield.
Aksi ini mengujakan penyokong kedua-dua pasukan. Ini kerana Liverpool turun dengan status juara liga dan Palace juara The Emirates FA Cup.
Hugo Ekitike dan Florian Wirtz menjadi sandaran gol The Reds. Jean-Philippe Mateta pula menjadi sandaran gol The Eagles.
Kedua-dua pasukan pantas mendapat gol awal pada separuh masa pertama. Ekitike meledakkan gol sulungnya bersama Liverpool seawal minit keempat selepas menerima hantaran Wirtz.
Tersentak, Palace kembali mengatur rentak. Hasilnya, mereka meraih gol penyamaan pada minit ke-17 menerusi penalti Mateta.
Kegembiraan kem The Eagles hanya bertahan selama empat minit. Jeremie Frimpong membuat hantaran lambung yang menewaskan penjaga gol pasukan itu, Dean Henderson.
Gol bekas graduan akademi Manchester City itu memastikan keputusan 2-1 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Liverpool terus menggandakan serangan untuk memburu gol tambahan. Ekitike hampir menambah gol ketiga pada minit awal babak kedua tetapi tandukannya tersasar.
Kegagalan jentera serangan The Reds memanfaatkan semua peluang terhidang dihukum The Eagles pada minit ke-77. Bekas bintang Watford, Ismaila Sarr meledakkan gol penyamaan melepasi Alisson.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari jaringan kemenangan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Situasi ini membawa kepada penentuan sepakan penalti untuk menentukan pemenang.
Liverpool bernasib malang apabila tiga penalti mereka gagal disempurnakan Mohamed Salah, Alexis MacAllister dan Harvey Elliott. Ini membuka ruang buat pemain gantian, Justin Devenny meledakkan gol kemenangan Palace dengan keputusan 3-2.
Sofascore memilih Sarr sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.7. Alisson pula dipilih pemain terbaik Liverpool dengan markah 8.1.
Selepas ini, The Reds membuka kempen liga dengan menentang Bournemouth pada awal pagi 16 Ogos. The Eagles pula akan menentang juara Piala Dunia Kelab 2025, Chelsea pada 17 Ogos.