LTdL: Nur Aiman Rosli Raih Podium Di Medini
UltraSukan
Terengganu Cycling Team

Hasrat peminat sukan berbasikal Malaysia melihat pelumba negara meraih podium dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 akhirnya tercapai menerusi Muhammad Nur Aiman Rosli.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu meraih tempat kedua dalam perlumbaan peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini sejauh 214.9 kilometer (km) itu.

Nur Aiman terlepas peluang bergelar juara peringkat tersebut apabila diatasi jaguh Britain, Zeb Kyffin.

Menariknya, kedua-dua pelumba ini berjaya mendahului 35 pelumba lain ketika berada dalam 10 km terakhir zon pecutan. Ini membolehkan Nur Aiman meraih podium pertama buat pelumba negara dalam LTdL edisi 2025.

Pelumba ProTeam Tudor Pro Cycling Team dari Belanda, Arvid de Kleijn pula terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ketiga.

Seorang lagi pelumba Malaysia dari pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Izzat Hilmi Abdul Halil menamatkan perlumbaan di tangga kesembilan.

Selepas ini, LTdl akan memasuki peringkat kelapan dan terakhir dari Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur dengan jarak 180.2 km pada 5 Oktober.