Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia turun padang untuk meninjau persiapan pasukan itu pada musim hadapan.
Kelibat legenda Liverpool itu dilihat di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) baru-baru ini. Beliau meninjau kerja-kerja penaiktarafan yang sedang berjalan di stadium tersebut.
Selepas tamat musim 2024/25, JDT mula menaik taraf kemudahan SSI. Ini termasuk menambah ruang korporat dan menukar permukaan padang untuk musim 2025/26.
Langkah ini bertujuan memastikan SSI sentiasa berada pada tahap terbaik dan mampu digunakan untuk apa jua acara termasuk perlawanan bola sepak antarabangsa.
Selepas selesai membuat tinjauan, Garcia percaya semua ini menjadi asas untuk membawa Harimau Selatan ke tahap yang lebih tinggi.
“Setiap sudut stadium ini membawa kisah kemajuan. Melangkah melihat segala penambahbaikan, menyaksikan permukaan padang baharu terbentuk, ia mengingatkan kita bahawa pembangunan tidak pernah berhenti apabila kehebatan menjadi matlamat.
“Kita bukan sekadar membina padang, kita sedang membina asas untuk era yang baharu. JDT bukan sekadar bersiap untuk musim baru, kita sedang naik ke tahap yang lebih tinggi.
“Asas yang lebih kukuh, cita-cita yang lebih berani, dan keyakinan yang tidak tergoyah bahawa yang terbaik masih menanti. Ini untuk penyokong, pemain, pasukan di belakang tabir, dan semua yang hidup dan bernafas demi kelab ini. Ayuh, kita bangkit bersama,” katanya di Instagram.
Garcia mula menggalas peranan sebagai CEO baharu JDT pada April lau.