Penyerang kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin dilihat semakin menghampiri prestasi terbaik bersama Negeri Sembilan FC.
Ini kerana bekas penyerang KV Kortrijk itu membantu Sang Rusa menewaskan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) dengan meledakkan dua gol.
Meskipun sering beraksi sebagai pemain sayap, aksi itu menyaksikan jurulatih Negeri Sembilan, Nidzam Jamil meletakkannya sebagai penyerang utama.
Bekas jurulatih Selangor FC itu dilihat berpuas hati dengan impak Luqman. Ini kerana pada hemat Nidzam, dua gol itu bukan saja bukti Luqman terus menunjukkan peningkatan.
Malah, ia juga merupakan suntikan semangat buat bekas penyerang Njardvik itu untuk terus meledak selepas ini.
“Baguslah sebab Luqman sudah ada tiga gol (dalam liga setakat ini),” katanya selepas perlawanan.
“Dua peluang dan dia dapat jaringkan gol. Dia selalu berlari di belakang pertahanan, itu yang membawa kepada gol kedua. Zahril (Aziz Zabri) dapat satu bantuan gol.”
Nidzam turut mendedahkan Luqman menjadi pilihan sebagai penyerang susulan kecederaan kecil yang menimpa Joseph Esso.
“(Luqman) terpaksa main sebagai penyerang sebab masa sesi memanaskan badan, Esso ada sedikit kecederaan. Jadi, kita tak nak ambil risiko,” ujarnya.
Keputusan ini menyaksikan Negeri Sembilan berada di tangga keenam dengan 17 mata. Mereka kini dihambat Brunei DPMM FC dan hanya dipisahkan dengan tiga mata.