Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi meraih perhatian peminat bola sepak tanah air apabila melancarkan video promosi awal sebagai tanda permulaan musim baharu yang bakal bermula tidak lama lagi.
Video berdurasi sekitar dua minit itu mencuri tumpuan ramai kerana menampilkan babak-babak dramatik yang dirakam di beberapa lokasi luar negara seperti Thailand, Jepun, Korea dan juga kawasan padang pasir dipercayai di rantau Asia Barat.
Ia dimuat naik di laman Johor Southern Tigers pada Sabtu sekaligus mencetuskan pelbagai reaksi dan perbualan dalam kalangan penyokong yang menyifatkan video tersebut seperti adegan dari sebuah filem aksi antarabangsa.
Turut dipaparkan ialah beberapa watak simbolik dari negara seperti Jepun, Thailand, Korea dan rantau Arab yang seakan terpukau dengan cahaya misteri yang muncul dari arah Stadium Sultan Ibrahim, seolah-olah menggambarkan kebangkitan JDT di pentas Asia.
Mesej utama video tersebut adalah untuk memberikan bayangan awal tentang arah tuju kelab menjelang musim 2025 termasuk dalam kempen domestik dan juga kejohanan peringkat Asia seperti ACLE dan Shopee Cup.
Ayat kunci yang digunakan dalam kapsyen video itu berbunyi “One Club. One Signal. One Mission. From Johor to Asia and beyond, nothing can stop us” yang memberi isyarat jelas bahawa JDT tidak hanya mahu menguasai pentas tempatan, tetapi juga berhasrat menawan Asia.
Rata-rata peminat memberikan reaksi positif terhadap kualiti penghasilan video yang disifatkan ‘next level’ dan lebih jauh ke hadapan berbanding kelab-kelab lain dalam rantau ini.
Terdahulu, JDT turut mengumumkan bahawa pelancaran jersi baharu kelab bagi musim 2025 akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad jam 7 malam, yang dijangka menarik ribuan penyokong setia.
Dengan pendekatan yang konsisten dari segi kandungan visual dan hala tuju jenama, JDT sekali lagi membuktikan mereka kekal menjadi penanda aras dalam dunia bola sepak profesional Asia Tenggara.