Kelab Jepun, Machida Zelvia bakal menghadapi cabaran Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) tanpa pemain Israel, Neta Lavi.
Selepas undian perlawanan Liga Timur ACLE menyaksikan Zelvia diundi bertemu JDT, ini menimbulkan rasa ingin tahu dalam kalangan peminat bola sepak negara.
Ini kerana sekiranya Zelvia cuba membawa pemain Israel bermain di Malaysia, mereka akan berdepan kesukaran untuk mendapatkan pelepasan untuk Lavi.
Kali terakhir pemain Israel mendapat pelepasan khas untuk beraksi di negara ini ialah Yossi Benayoun pada 2011. Pada ketika itu, Chelsea mengadakan aksi pramusim di Malaysia dengan Benayoun sebahagian daripada rombongan pasukan pada ketika itu.
Situasi ini mendorong Zelvia memilih untuk tidak membawa Lavi untuk aksi ACLE menentang JDT. Perkara ini disahkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Ini selepas kelab tersebut mengadakan latihan rasmi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada waktu pagi tanpa kelibat bekas pemain tengah Gamba Osaka itu.
“Di bawah sinaran matahari, Machida Zelvia memilih untuk melakukan latihan rasmi jam 11.00 pagi dan kelab Jepun itu sah hadir ke Malaysia tanpa pemain Israel Neta Lavi,” katanya di X.
Zelvia dijangka menagih kudrat Ibrahim Dresevic, Mitchell Duke, Cha Je-hoon, Na Sang-ho dan Oh Se-hun sebagai tonggak import untuk aksi tersebut.