Machida Zelvia Tempah Slot Awal Ke ACL2 Musim Hadapan
MakanBola
FC Machida Zelvia

Machida Zelvia mengesahkan kelayakan ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) apabila muncul juara Emperor’s Cup baru-baru ini.

Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan juara J-League 1 musim lalu, Vissel Kobe 3-1 di Stadium Nasional Jepun.

Shota Fujio pantas meletakkan Machida Zelvia di hadapan seawal minit keenam. Yuki Soma menggandakan kelebihan kelab itu pada minit ke-32.

Kobe makin derita apabila Fujio sekali lagi merobek gawang mereka pada minit ke-56. Taisei Miyashiro merapatkan jurang enam minit selepas itu tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kejayaan ini bukan saja melayakkan Machida Zelvia ke pentas ACL2 musim hadapan. Malah, ini juga trofi utama pertama dimenangi kelab itu dalam sejarah.

Jurulatih Machida Zelvia, Go Kuroda turut mencipta sejarah sebagai jurulatih paling tua bergelar juara. Sebelum ini, rekod itu dipegang Akira Nishino yang dilakar pada 2009.