Malaysia B-16 Menang Kali Ke-3, Terus ‘Tekan’ Vietnam
MakanBola
FA Malaysia

Malaysia terus memberi tekanan kepada Vietnam dalam kedudukan kumpulan C Kelayakan Piala Asia B-17 2026 selepas mencatatkan kemenangan ke-3 mengatasi Macau.

Aksi kumpulan C Kelayakan Piala Asia B-17 memasuki hari perlawanan ke-3 dengan Malaysia B-16 turun menentang Macau setelah menewaskan Kepulauan Mariana Utara dan Hong Kong sebelum ini.

Kemenangan ke-3 berjaya diperoleh oleh anak didik Javier Jorda Ribera ini selepas cemerlang menumpaskan Macau dengan keputusan 5-0 hasil jaringan hatrik Aliff Ashraf dan dua gol Iman Danish.

Hasil kemenangan selesa ini membantu Malaysia B-16 untuk terus memberikan tekanan kepada Vietnam yang kini berada di takhta kumpulan C, berkongsi 9 mata dengan skuad muda negara.

Vietnam yang turut beraksi pada masa yang sama berhasil memperoleh kemenangan 2-0 dengan mengalahkan Hong Kong bagi memiliki kelebihan jaringan +22 berbanding +19 yang diraih Malaysia B-16.

Perlawanan seterusnya bakal menyaksikan Malaysia B-16 turun bertemu Singapura tatkala Vietnam pula menentang Macau pada Jumaat, 28 November hadapan di venue yang sama.