Skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) meneruskan persiapan Piala Mandiri ASEAN B-23 apabila membelasah Melaka FC 4-1.
Selepas berjaya menewaskan PDRM FC 1-0 dalam aksi ujian pertama pada 6 Julai lalu, anak buah Nafuzi Zain berharap dapat meneruskan rentak kemenangan dalam aksi ujian kedua.
Melaka pula menggunakan aksi ini sebagai medan memantapkan pasukan menjelang saingan Liga Super yang bermula pada Ogos ini.
Ketajaman jentera serangan Malaysia B-23 terserlah apabila mereka menjaringkan empat gol. Penyerang baharu Sabah FC, Fergus Tierney meledakkan dua gol dalam perlawanan tersebut.
Penyerang Selangor FC, Aliff Izwan Yuslan dan pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Faris Danish Mohd Asrul masing-masing mencetak satu gol.
Aksi ini turut menyaksikan bekas penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md. Fauzi beraksi untuk skuad Melaka. Ini menyaksikan beliau kembali bekerjasama dengan jurulatih lamanya, K. Devan.
Selepas ini, Malaysia B-23 akan menentang satu lagi pasukan Liga Super, Negeri Sembilan FC pada 11 Julai ini. Setelah itu, Nafuzi akan mengumumkan barisan 23 pemain yang akan dibawa ke Indonesia.
Melaka pula mengalihkan fokus kepada aksi persahabatan menentang pendatang baru Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) pada 9 Julai.