Malaysia B-23 Gugurkan Dua Pemain Sebelum Ke Sukan SEA
MakanBola
FA Malaysia

Skuad Malaysia B-23 menggugurkan dua pemain sebelum bertolak ke Bangkok, Thailand untuk kempen Sukan SEA 2025.

Dua nama yang tidak tersenarai dalam senarai akhir 23 pemain itu ialah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Shukur Fariz Januri dan pemain Kedah FA, Akmal Hakim Rosli.

Senarai akhir 23 pemain Malaysia B-23 diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan di laman sesawang badan induk itu.

Antara yang tersenarai ialah Ubaidullah Shamsul Fazili, Fergus Tierney, Aysar Hadi Mohd Shapri, Haqimi Azim Rosli dan Danish Hakimi Sahaludin.

Anak buah Nafuzi Zain akan bertolak ke Bangkok pada 4 Disember ini untuk mengharungi aksi Kumpulan B.

Kumpulan B membuka tirai dengan Vietnam melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Laos dalam aksi pertama kumpulan. Nguyen Dinh Bac muncul wira dengan meledakkan dua gol Vietnam.

Malaysia B-23 akan membuka kempen kumpulan dengan menentang Laos pada 6 Disember ini. Ini disusuli aksi menentang Vietnam pada 11 Disember ini.